hhghj

hhghj

Facebook Badge

HIJRAH; MENEPATI SUNNATULLAH DALAM PERJUANGAN



Telah kita ketahui bahawa semasa penghijrahan Nabi SAW, Baginda membuat perancangan terlebih dahulu bersama-sama sahabat yang lain sebelum memulakan perjalanan ke Madinah. Baginda SAW dan sahabatnya Abu Bakar r.a berhijrah ke Madinah dalam keadaan penuh kerahsiaan. Kenapa Baginda SAW tidak melakukan perkara yang sama dibuat oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a ketika beliau mengisytiharkan penghijrahan beliau kepada masyarakat Mekah? Adakah disebabkan Baginda takut kepada ancaman Quraisy Mekah? Adakah pergantungan kepada Allah SWT diketepikan? 

Sebenarnya, kejayaan Hijrah Nabi SAW adalah hasil dari kekuatan pergantungan mutlak kepada Allah SWT. Di samping kekuatan penguasaan Baginda kepada taktikal dan teknikal dalam strategi Hijrah tersebut. Sekiranya kita memerhatikan strategi Nabi SAW, ia sangat berkait rapat dengan Sunnatullah dalam mendapat kemenangan, iaitu tepat dan praktikal. Firman Allah SWT;

سُنَّةَ ٱللَّهِ فِى ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلُۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبۡدِيلاً
Maksudnya: “Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang-orang yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu". (Surah Al-Ahzab: 62) 

Cuba kita perhatikan contoh terbaik yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW ketika membuat strategi dalam perancangan untuk berhijrah ke kota Madinah. Baginda telah meletakkan orang-orang yang sepatutnya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Baginda telah melantik Ali bin Abi Talib r.a untuk mengganti Baginda di tempat pembaringannya. Baginda telah menugaskan Abdullah bin Abu Bakar r.a untuk menghantar maklumat risikan tentang perancangan kafir Quraisy terhadap Baginda. Baginda juga telah melantik Asma' bin Abu Bakar r.a untuk menghantar bantuan makanan sewaktu Baginda bersembunyi di gua Tsur. Di samping itu, Baginda telah menggunakan khidmat seorang lelaki yang bukan Islam iaitu Abdullah bin Uraiqith untuk menunjukkan jalan yang berlainan dari jalan yang biasa dilalui oleh masyarakat Mekah untuk ke Madinah. Di sini menunjukkan bahawa dibenarkan untuk menggunakan khidmat dan bantuan orang yang bukan Islam untuk menjayakan perjuangan Islam. 

Baginda juga telah meminta Amir bin Fuhairah untuk membawa kambing-kambingnya menyelusuri jalan ke Gua Tsur untuk menghapuskan kesan tapak-tapak kaki dari kota Mekah ke Gua Tsur. Akhirnya, Nabi melantik sahabat yang paling dikasihi dan dipercayainya iaitu Abu Bakar As-Siddiq r.a untuk menemaninya sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Demikianlah strategi penghijrahan Nabi SAW yang menepati Sunnatullah dalam perjuangan. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib r.a; 

الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام 
“Kebenaran yang diperjuangan tanpa organisasi yang tersusun, akan dikalahkan oleh kebathilan yang mempunyai organisasi yang tersusun.” 

Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pemuda/pemudi  untuk mengambil pedoman dari peristiwa hijrah ini seperti berikut; 

1- Meningkatkan jalinan ukhuwah dengan memasakkan wehdatul fikr dan wehdatul amal dalam menggerakkan bahtera perjuangan ini. 

2- Memastikan setiap organisasi di semua peringkat menperkemaskan organisasi dengan meletakkan orang yang selayaknya pada posisi-posisi yang sepatutnya.

3- Meletakkan pergantungan mutlak kepada Allah SWT dengan meyakini bahawa kemenangan adalah anugerah yang akan dikurniakan olehNya apabila kita telah memenuhi syarat-syarat kemenangan di sisi Allah SWT.

4- Mematuhi arahan pimpinan parti dengan sepenuh hati selagimana ia tidak bercanggah dengan Syariah. 

Sekian, terima kasih. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BORANG MAKLUMAT PELANGGAN

Name

Email *

Message *