hhghj

hhghj

Azab Kubur Berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadith

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Perkataan azab bererti hukuman, seksaan, kesengsaraan atau kesusahan. Manakala perkataan kubur pula bermaksud tempat menanam mayat. Jika disebutkan perkuburan bermakna tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang yang telah mati atau permakaman.
Mayat sama ada ditanam, ditenggelamkan, terbakar jadi debu atau dimakan binatang; mereka disebut berada di alam barzakh. Maka pengertian kubur yang dikaitkan dengan kesenangan atau azab ialah alam kubur yang berada di antara alam kehidupan dunia dengan alam akhirat iaitu alam barzakh.
Alam Barzakh
Barzakh bermaksud rintangan atau pemisahan. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. Semua orang yang berada di dalam kubur dinamakan hidup di alam barzakh.
Alam ini berada di antara mati dan bangkit daripada mati. Apabila berada di dalam kubur, kita akan disoal oleh dua malaikat yang bernama Munkar dan Nakir mengenai amalan yang dilakukan semasa hidup di dunia. (Ensiklopedia Isam: 3/8-9)
Pengarang kitab Mu‘jam Alfaz as-Shawfiyah menyatakan perkataan barzakh dari sudut bahasa ialah sekatan atau pemisah di antara dua sesuatu seperti bercakap adalah pemisah di antara manusia dengan binatang. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya“ (Surah ar-Rahman: 19-20)
Barzakh dari sudut istilah pula ialah pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari Kiamat.
Jadi alam barzakh ialah alam yang terdapat di antara dunia dan akhirat. Alam ini boleh dikatakan sebagai tempat sementara penghuni dunia untuk sampai ke hari Kiamat.
Menurut al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “… Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)” (Surah al-Mukminun: 100)
Beliau menjelaskan bahawa barzakh itu ialah alam di antara kematian dan kebangkitan. (Tafsir al-Qurtubi: 6/113)
Pengarang kitab Akidah al-Mukmin pula menyatakan tujuan wujudnya alam barzakh ialah untuk menghimpunkan semua roh dan bersiap sedia memasuki alam akhirat. Dengan kedudukannya yang seperti itu, maka alam barzakh berfungsi sebagai pendinding atau pemisah di antara dua kehidupan lain iaitu kehidupan dunia dan kehidupan akhirat. Dengan perkataan lain, alam barzakh ialah alam penantian atau ruang menunggu untuk masuk ke alam akhirat selepas kematian. (Halaman 409-501)
Dalil-Dalil Yang Menyatakan Azab Kubur Dalam Al-Qur’an
Pensabitan azab kubur di dalam al-Qur’an telah dijelaskan oleh para ulama tafsir yang muktabar lagi masyhor. Mereka itu termasuklah Imam al-Qurtubi, Ibnu Kathir, Imam Muhammad ar-Razi Fakhr al-Din dan lain-lainnya menyebut perkara tersebut dan kewajipan beriman dengannya di dalam kitab-kitab mereka.
Ayat-ayat al-Qur’an yang menjadi bukti wujudnya azab kubur antaranya ialah:
1. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan pertunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta” (Surah Taha: 124)
Menurut Abu Sa‘id al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud Radhdiallahu ‘anhum perkataan ضنكا (yang sempit) adalah azab kubur. Inilah pendapat yang shahih. Telah disebutkan dalam kitab at-Tazkirah, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata:
“Disempitkan kubur orang kafir itu sehingga tulang-tulang berselisih”. (At-Tazkirah: 151-152 & al-Qurtubi: 6/3307)
2. Firman Allah Ta`ala:
Tafsirnya: “Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya”. (Surah Ghafir: 46)
Ayat di atas menceritakan tentang berlakunya pendedahan bahan-bahan api neraka di alam barzakh. Perkara ini bertepatan dengan pendapat jumhur ulama sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurtubi bahawa bahan-bahan api neraka yang didedahkan pada waktu pagi dan petang itu berlaku di alam barzakh. Sebahagian ahli ilmu pula menjadikan ayat di atas sebagai dalil sabitnya azab kubur. Pendapat ini disepakati oleh Mujahid, ‘Akramah, Muqatil dan Muhammad bin Ka‘ab. Mereka mengatakan bahawa ayat di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa azab kubur itu berlaku di alam barzakh. (Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, al-Qurtubi: 8/4415-4416)
Imam Ibn Kathir ad-Dimsyaqi menyatakan bahawa Ahli Sunnah menjadikan ayat di atas sebagai dalil yang kukuh berlakunya azab kubur di alam barzakh. Beliau berkata:
Maksudnya: “Ayat ini adalah sebenar-benar sumber mengenai pensabitan Ahli Sunnah terhadap berlakunya azab kubur di alam barzakh”.
3. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka ditenggelamkan (dengan bah taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka” (Surah Nuh: 25)
Al-Qurtubi menafsirkan perkataan “dimasukkan ke dalam api neraka” iaitu selepas mereka (kaum Nabi Nuh ‘alaihisalam) ditenggelamkan. Berkata al-Qusyairi:
Maksudnya: “Inilah bukti (berlakunya) azab kubur (yang berlaku ke atas kaum Nabi Nuh ‘alaihisalam, ditenggelamkan dengan bah taufan dan pada hari akhirat dimasukkan ke dalam api neraka)”
Dengan perkataan lain sebagaimana riwayat Abu Rauq daripada ad-Dahak bahawa di dunia mereka diazab dengan api neraka sekaligus ditenggelamkan. Yakni mereka ditenggelamkan pada satu sudut dan pada sudut yang lain mereka dibakar di dalam air lautan. (Al-Qurtubi: 9/5187-5188)
Imam an-Nasafi menjelaskan bahawa mereka kaum Nabi Nuh ‘alaihisalam ditengelamkan dengan bah taufan dan dimasukkan ke dalam api neraka disebabkan oleh kesalahan-kesalahan mereka yang banyak. Huruf fa’ dalam ayat ialah )untuk pemberitahuan) iaitu mereka diazab dengan api neraka ketika ditenggelamkan. Inilah dalil dan bukti wujudnya dan sabitnya azab kubur. (Tafsir An-Nasafi: 4/297)
4. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain daripada azab yang tersebut”. (Surah At-Thuur: 47)
Al-Qurtubi menjelaskan dalam tafsirnya bahawa azab itu adalah azab kubur. (At-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirat: 152 & Al-Qurtubi: 9/4786). Ini kerana Allah Ta‘ala telah berfirman:
Tafsirnya: “(Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa”. (Surah At-Thuur: 45)
Menurut beliau (at-Qurtubi) hari yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah hari terakhir di dunia. Ini adalah bukti bahawa azab yang dihadapi (di dunia) itu ialah azab kubur. (At-Tazkirah: 152)
5. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian) kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)”. Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari Kiamat)! (Surah at-Takathur: 1-3)
Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa surah di atas mengandungi perkataan-perkataan tentang azab kubur. Oleh itu beriman dengannya adalah wajib. Inilah pegangan ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. (At-Tazkirah: 152 & al-Qurtubi: 10/5540-5541)
Ibnu Jarir at-Tabari pula menjelaskan ayat (sehingga kamu masuk kubur) sebagai dalil atau bukti keshahihan wujudnya azab kubur. Perkara ini disebut dalam beberapa riwayat, antaranya riwayat daripada Zirru bin Hubaisy, daripada Ali Radhiallahu ‘anhu katanya: “Kami masih ragu tentang azab kubur, lalu turunlah surah at-Takathur “. (Jami‘ al-Bayan li Ibn Jarir at-Tabari: 15/362)
Hadis-Hadis Yang Menunjukkan Sabitnya Azab Kubur
Berita dan khabar yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersumber daripada wahyu Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu, setiap hamba Allah Ta‘ala wajib mempercayainya dan beriman dengannya. Inilah i`ktiqad orang-orang Islam.
Maka banyak hadis-hadis shahih yang diriwayatkan oleh periwayat-periwayat hadis yang masyhur seperti al-Bukhari dan Muslim secara terang-terang menyebutkan tentang sabitnya kewujudan azab kubur, antaranya:
1. Riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian? Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berkata:
“Telah datang kepada ku dua orang tua Yahudi Madinah sambil berkata: Maksudnya: “Sesungguhnya ahli kubur itu diazab dalam kubur-kubur mereka. Aisyah Radhiallahu ‘anha menjawab: “Kamu berdua berbohong dan aku tidak mempercayai kamu lalu kedua orang tua Yahudi itu pun keluar. Tatkala masuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulallah! Sesungguhnya dua orang tua Yahudi Madinah telah berjumpa aku dan keduanya menyangka bahawa ahli kubur itu diazab di dalam kubur-kubur mereka.
Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Benar kata-kata kedua orang Yahudi itu, sesungguhnya mayat-mayat itu diazab sehingga didengar akannya oleh sekalian binatang. (Aisyah Radhiallahu ‘anha) berkata: “Aku tidak melihat Baginda selepas sembahyang kecuali (berdoa) memohon perlindungan daripada azab kubur”. (Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari)
3. Daripada riwayat Abi Ayyub katanya:
Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar selepas matahari terbenam. Lalu Baginda mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat Muslim dan al-Bukhari)
4. Daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis riwayat al-Bukhari)
5. Dalam riwayat Imam Muslim:
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis riwayat Muslim)
6. Daripada Zaid bin Sabit menceritakan ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melintasi beberapa kubur, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang mengetahui mayat-mayat di kuburkan ini? Seorang Lelaki menjawab: “Saya”. Baginda bertanya: “Bilakah mereka mati? Lelaki itu menjawab: “Mereka mati ketika dalam kafir”.Baginda bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan dicuba di dalam kuburnya. Jika tidak kerana kamu tanamkan (mayat-mayat) ini nescaya aku memohon kepada Allah supaya kamu diperdengarkan daripada azab kubur sebagaimana aku dengar daripada kubur-kubur ini. Kemudian Baginda menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab neraka”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab api neraka”. Baginda bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab kubur”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab kubur”… (Hadis riwayat Muslim)
Maka jelas daripada segala hadis yang shahih di atas bahawa azab kubur adalah sabit dan benar dan sekalian umat Islam wajib mempercayainya dan orang yang mengingkarinya pula adalah ditakuti rosak akidahnya.
Al-Imam al-Qadi Ali bin Abi al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh Thahawiyah berkata: “Dan telah mutawatir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta perkara soal dua malaikat. Maka wajib beriktiqad akan sabitnya yang demikian itu”. (Syarh al-Aqidah at-Thahawiyah: 2/456)
Adakah Azab Kubur Berterusan Atau Sebaliknya?
Ibnu Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa azab itu ada dua macam iaitu azab yang tetap dan azab yang terputus Azab yang tetap berdasarkan ayat firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Mereka didedahkan kepada bahan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh)”. (Surah Ghafir: 46)
Walau bagaimanapun dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala azab boleh diringankan berdasarkan beberapa hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya:
1. Riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma, katanya:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui dua buah kubur. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa besar yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba. Lalu Baginda mengambil pelepah buah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Baginda pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Mereka (sahabat-sahabat) bertanya: “Mengapa Tuan berbuat demikian? Baginda menjawab dan bersabda: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Riwayat daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya apabila seseorang kamu meninggal dunia akan dibentangkan kepadanya tempat duduk pada waktu pagi dan petang. Sekiranya dia ahli syurga maka dia penghuni ahli syurga dan sekiranya dia ahli neraka maka dia adalah penghuni ahli neraka. Lalu dikatakan kepadanya: “Inilah tempat dudukmu sehingga Allah membangkitkan engkau semula di hari Kiamat” (Hadis riwayat Bukhari)
Manakala azab yang putus ialah seseorang yang diazab dengan api neraka pada suatu waktu yang ditentukan kemudian ia dikeluarkan semula daripada azab tersebut. Sebagai contoh seseorang yang diazab disebabkan dosanya kemudian ia dikeluarkan atau diringankan daripada azab tersebut disebabkan oleh doa, pahala sedekah, pahala haji atau pahala bacaan al-Qur’an yang sampai kepada si mati oleh sanak keluarga atau orang lain. Ini sesuai dengan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya”. (Surah al-Baqarah: 255)
Ibnu Abi ad-Dunia menyebutkan satu cerita Abdullah bin Nafi‘ katanya:
“Telah mati seorang lelaki daripada orang Madinah lalu aku melihat dia seolah-olah sebagai ahli neraka dan dia sangat berdukacita kerana yang demikian itu. Kemudian selepas beberapa ketika aku melihatnya pula seolah-olah sebagai ahli syurga. Lalu aku bertanya: “Tidakkah engkau berkata bahawa engkau tergolong daripada ahli neraka”. Dia menjawab: “Sememangnya begitu (sebagaimana yang aku katakan kepadamu) kecuali setelah dikuburkan bersama-sama kami ini seorang yang salih dan kerananya telah mendapat syafaat seramai empat puluh orang di sekeliling kuburnya dan aku termasuk daripada mereka yang mendapat syafaat itu”.
Inilah ringkasan perkataan Ibnu Qayyim di dalam kitabnya ar-Ruh mengenai persoalan azab kubur itu berterusan atau sebaliknya. (Ar-Ruh: 107-109)
Kedudukan Hadis Ahad Dalam Hujjah
Ada sebahagian orang yang mendakwa bahawa azab kubur tidak sabit kerana hadis-hadis yang mengkhabarkan keshahihan azab kubur adalah hadis Ahad.
Al-‘Allamah al-Kauthari berkata: “… Kemudian memakai hadis Ahad pada dalil hukum syara‘ adalah sabit dan nyata dengan disokong oleh dalil-dalil qath‘i dan pemutus bahawa hadis Ahad memberi ilmu yakin betul benar isi kandungannya tiadalah ada ragu-ragu padanya walau pun ia dinamakan hadis Tunggal (Ahad), bagaimana telah ditegaskan oleh al-Imam Abul Hasan al-Karkhi dan as-Sam‘aani dalam kitab al-Qawathi‘, al-Imam al-Ghazali dalam kitab al-Mustashfa dan al-Imam Abul Aziz al-Bukhari dalam kitab Syarh Ushul Fakhrul Islam. (Fatwa Mufti Kerajaan: 4/90 (Fatwa Berturut Bil: 71)
Menurut pengarang kitab al-Aqidah al-Islamiyah wa Ususuha bahawa kebanyakan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sampai kepada kita ialah menerusi jalan Ahad. Jika hadisnya shahih, ia membawa ilmu zanni kepada periwayatannya. Ini memberi faedah bahawa ia difahami pasti datang daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi tidak seperti akidah kita kepada mutawatir. Walaupun begitu, sesetengah hadis Ahad yang mengandungi persoalan akidah ada yang diterima umat Islam pada zaman awal Islam dengan penerimaan sepenuhnya tanpa bantahan. Hadis Ahad seperti ini meningkat ke taraf “riwayat mutawatir” dengan mengambil kira kandungannya telah diambil dan diterima pakai umat Islam tanpa bantahan. Dengan itu hadis Ahad seperti ini jadilah “mutawatir makna”, dan dari itu pula ia membawa faedah yang sama pada riwayat “mutawatir lafzi”. (Abdul Rahman Hanakah al-Midani: h.37)
Imam Syafi‘e Rahimahullah telah mensabitkan bolehnya berhujjah dengan hadis Ahad sebagaimana terdapat banyak tempat di dalam kitab-kitab beliau khasnya ketika dalam perbahasan atau munazzah. Hadis Ahad dipakai beliau apabila hujjah yang diperlukan tidak dijumpai dalam al-Qur’an, sunnah dan ijmak atau yang semakna dengannya”. (Ar-Risalah: 596-598 & Abu Zuhrah, as-Syafi‘e: 308)
Al-Baqilani pula berkata: “Adalah wajib mengamalkan hadis Ahad jika perawinya bersifat adil dan tidak bertentangan dengan nas yang lebih kuat daripadanya …” (al-Baqilani, At-Tamhid: 164)
Penutup
Berdasarkan fakta atau hujah daripada al-Qur’an, sunnah dan perkataan ulama adalah sabit wujudnya azab kubur. Al-Imam al-Qadi Ali bin Al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Akidah at-Thahawiyah menyebutkan bahawa telah mutawatir segala hadis daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pada sabitnya azab kubur dan nikmatnya serta soal dua malaikat. Maka wajib beriktiqad akan sabitnya yang demikian dan beriman dengannya. Janganlah kita persoalkan atau bercakap mengenai kaifiyah (caranya) kerana akal tidak akan berhenti pada memikirkannya”. (Syarh al-Akidah at-Thahawiyah: 456)
Imam Abu Hanifah pula menyebutkan di dalam kitabnya al-Fiqh al-Akbar bahawa sempitnya kubur dan azab kubur itu adalah benar kepada mayat kafir sekaliannya dan sebahagian daripada yang derhaka daripada orang-orang yang beriman. (al-Fiqh al-Akbar: )
Maka ada pula dakwaan sesetengah penganut agama dan fahaman yang menyeleweng yang menyangka apabila jasad manusia dibakar dengan api sehingga menjadi abu atau ditenggelamkan ke dasar laut, jasad itu terlepas daripada azab barzakh iaitu azab kubur. Perkara ini telah disangkal dan ditolak oleh Al-Imam al-Qadi Ali bin Al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Akidah at-Thahawiyah katanya:
“Dan ketahui olehmu bahawa azab kubur itu adalah azab barzakh. Maka sesiapa yang telah mati adalah berhak bagi azab yang tertentu ke atasnya sama ada dikuburkan atau tidak dikuburkan, yang memakan akan dia oleh binatang buas atau hangus terbakar sampai menjadi abu dan diterbangkan ke udara, atau disalib atau tenggelam di laut, nescaya sampailah kepada roh dan jasadnya daripada azab sebagaimana yang sampai kepada mayat yang dikuburkan”. (Syarh al-Akidah at-Thahawiyah: 457)
Dari hujjah dan keterangan ini, maka tertolaklah segala pendapat dan anggapan orang yang mengingkari azab kubur sebagaimana pada akhir-akhir ini turut menyaksikan adanya pendapat dan anggapan yang sedemikian daripada penulis-penulis yang bertopengkan Islam tetapi sebenarnya mengingkari ajaran Islam.

5 Gangguan Syaitaan Semasa Solat



1. Was- Was Semasa Takbiratul Ihram
Saat mulai membaca takbiratul ihram “Allahu Akbar” , ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah. Sehingga ada yang mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus teru-lang, terkadang sampai imamnya hampir rukuk. Ibnul Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam ber-suci (berwudhu) dan niat atau semasa takbiratul ihram dalam solat”.
2. Tidak Khusyuk Ketika Membaca Bacaan Dalam Solat
Sahabat Rasulullah SAW Iaitu Uthman bin Abil Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu,
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah”. Rasulullah SAW menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku”. (HR. Muslim)
3. Lupa Jumlah Rakaat Yang Telah Di kerjakan
Abu Hurairah r.a berkata,
“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, “Jika salahseorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu be-rapa rakaat yang ia telah lakukan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) semasa masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam”. (HR Bukhari dan Muslim)
4. Hadirnya Fikiran yang Mengganggu
Abu Hurairah r.a berkata,
“Rasulullah SAW bersabda, “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari sambil terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muazin telah selesai azan, ia kembali lagi. Dan jika iqamah dikumandangkan ia berlari. Apabila telah selesai iqamah, dia kem-bali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadan-ya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia solat”. (HR Bukhari)
5. Tergesa-Gesa Untuk Menyelesaikan Solat
Ibnul Qayyim berkata, “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datangnya dari syaitan, karena tergesa-gesa adalah sifat gegabah, yang menghalangi seseorang untuk hati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.” Tentu saja bila solat dalam keadaan tergesa-gesa, maka cara pelaksanaannya asal boleh. Asal boleh mengerjakan, asal selesai dan asal jadi. Tidak ada ketenangan atau tukmaninah. Pada zaman Rasulullah SAW ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkannya untuk mengulanginya lagi karena solat yang telah ia kerjakan belum sah.
Rasulullah SAW bersabda kepadanya
“Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah dari Al-Qur‟an yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk, lalu bangkitlah dari rukuk sampai kamu tegak berdiri, kemudian sujud-lah sampai kamu benar-benar sujud dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu”. (HR Bukhari dan Muslim)

7 Golongan Yang Mendapat Naungan Di Akhirat



Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak iaitu sesuai dengan hadith di atas, iaitu:
  1. Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar sekali. Namun jika gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat.
  2. Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadat kepada Tuhannya. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.
  3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sesungguhnya terdapat hadis menyebutkan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah SWT dan dikategorikan sebagai satu sedekah.
  4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama, adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripada-Nya.
  5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina lalu dia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!” Ini menunjukkan keimanan dan ketakwaan yang sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan mudah terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina.
  6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ia menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk supaya mendapat pujian atau sanjungan dari orang ramai.
  7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim mukmin sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifat-Nya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya terhindar daripada perkara yang melalaikan.

Wallahua’lam.
Sumber: Buku Malam Pertama Di Syurga – Adil Akhyar, SH, LL.M

KUASA ALLAH swt.......Tanah kubur wangi !!


 
 
SEGAMAT: "Ketika proses menggali dan mengeluarkan mayat arwah ibu mentua dijalankan semalam, secara tiba-tiba seluruh kawasan tanah perkuburan ini berbau harum."Saya sendiri lihat kain kapan ibu mentua masih dalam keadaan sempurna dan tidak reput. Ia hanya dikotori tanah saja," kata Abdullah Abdul Karim.

Menceritakan amalan arwah Maheran sepanjang hayatnya, Abdullah berkata, ibu mentuanya sentiasa mengamalkan bacaan zikir selepas bangun daripada tidur. "Dia tidak pernah mengambil sarapan sebelum berzikir. Arwah juga sangat patuh kepada suami selain tidak pernah putus ke masjid. "Sepanjang hayatnya, arwah ibu mentua tidak pernah meninggalkan suruhan agama malah turut mengajar mengaji kepada anak jiran," katanya ketika ditemui. Selain itu, menurut Abdullah, arwah ibu mentuanya juga seorang yang pemurah dan sering bersedekah.

HIJRAH; MENEPATI SUNNATULLAH DALAM PERJUANGAN



Telah kita ketahui bahawa semasa penghijrahan Nabi SAW, Baginda membuat perancangan terlebih dahulu bersama-sama sahabat yang lain sebelum memulakan perjalanan ke Madinah. Baginda SAW dan sahabatnya Abu Bakar r.a berhijrah ke Madinah dalam keadaan penuh kerahsiaan. Kenapa Baginda SAW tidak melakukan perkara yang sama dibuat oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a ketika beliau mengisytiharkan penghijrahan beliau kepada masyarakat Mekah? Adakah disebabkan Baginda takut kepada ancaman Quraisy Mekah? Adakah pergantungan kepada Allah SWT diketepikan? 

Sebenarnya, kejayaan Hijrah Nabi SAW adalah hasil dari kekuatan pergantungan mutlak kepada Allah SWT. Di samping kekuatan penguasaan Baginda kepada taktikal dan teknikal dalam strategi Hijrah tersebut. Sekiranya kita memerhatikan strategi Nabi SAW, ia sangat berkait rapat dengan Sunnatullah dalam mendapat kemenangan, iaitu tepat dan praktikal. Firman Allah SWT;

سُنَّةَ ٱللَّهِ فِى ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلُۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبۡدِيلاً
Maksudnya: “Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang-orang yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu". (Surah Al-Ahzab: 62) 

Cuba kita perhatikan contoh terbaik yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW ketika membuat strategi dalam perancangan untuk berhijrah ke kota Madinah. Baginda telah meletakkan orang-orang yang sepatutnya dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Baginda telah melantik Ali bin Abi Talib r.a untuk mengganti Baginda di tempat pembaringannya. Baginda telah menugaskan Abdullah bin Abu Bakar r.a untuk menghantar maklumat risikan tentang perancangan kafir Quraisy terhadap Baginda. Baginda juga telah melantik Asma' bin Abu Bakar r.a untuk menghantar bantuan makanan sewaktu Baginda bersembunyi di gua Tsur. Di samping itu, Baginda telah menggunakan khidmat seorang lelaki yang bukan Islam iaitu Abdullah bin Uraiqith untuk menunjukkan jalan yang berlainan dari jalan yang biasa dilalui oleh masyarakat Mekah untuk ke Madinah. Di sini menunjukkan bahawa dibenarkan untuk menggunakan khidmat dan bantuan orang yang bukan Islam untuk menjayakan perjuangan Islam. 

Baginda juga telah meminta Amir bin Fuhairah untuk membawa kambing-kambingnya menyelusuri jalan ke Gua Tsur untuk menghapuskan kesan tapak-tapak kaki dari kota Mekah ke Gua Tsur. Akhirnya, Nabi melantik sahabat yang paling dikasihi dan dipercayainya iaitu Abu Bakar As-Siddiq r.a untuk menemaninya sepanjang perjalanan hijrah tersebut. Demikianlah strategi penghijrahan Nabi SAW yang menepati Sunnatullah dalam perjuangan. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib r.a; 

الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام 
“Kebenaran yang diperjuangan tanpa organisasi yang tersusun, akan dikalahkan oleh kebathilan yang mempunyai organisasi yang tersusun.” 

Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pemuda/pemudi  untuk mengambil pedoman dari peristiwa hijrah ini seperti berikut; 

1- Meningkatkan jalinan ukhuwah dengan memasakkan wehdatul fikr dan wehdatul amal dalam menggerakkan bahtera perjuangan ini. 

2- Memastikan setiap organisasi di semua peringkat menperkemaskan organisasi dengan meletakkan orang yang selayaknya pada posisi-posisi yang sepatutnya.

3- Meletakkan pergantungan mutlak kepada Allah SWT dengan meyakini bahawa kemenangan adalah anugerah yang akan dikurniakan olehNya apabila kita telah memenuhi syarat-syarat kemenangan di sisi Allah SWT.

4- Mematuhi arahan pimpinan parti dengan sepenuh hati selagimana ia tidak bercanggah dengan Syariah. 

Sekian, terima kasih. 

Kisah Sedih Menyentuh Hati – Aku, Temuduga Dan Pengorbanan Ibu


Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.
Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.
Pengurus itu bertanya, “Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?”
Gadis itu menjawab “Tidak.”
Pengurus itu bertanya lagi, “Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?”
Gadis itu menjawab,”Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya.”
Pengurus meneruskan soalannya, “Ibu awak bekerja di mana?” Gadis itu menjawab,”Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah.”
Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.
Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, “Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?”
Gadis itu menjawab, “Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya.”
Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.
Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.
Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.
Lama-kelamaan gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti.
Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.
Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.
Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya : “Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?”
Gadis itu menjawab : “Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal.”
Pengurus itu bertanya lagi, “Apa yang anda rasa?”
Gadis itu menjawab : “Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan.”
Pengurus itu tersenyum lalu berkata, “Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini.”
Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.
Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.
Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.
Hargailah pengorbanan seorang ibu..gembirakan lah hati mereka senantiasa dengan meringankan beban mereka dan berbuat baiklah dengan ibu anda.

Apakah Pesan Roh Kepada Manusia??


Apakah Pesan Roh Kepada Manusia??

Apakah Pesan Roh Kepada Manusia?? | Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jiin dan manusia.
Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : “Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut”.
Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : “Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh”.
Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu : “Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh” . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.
Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : “Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya”.
Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.
Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: “Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku”.
“Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku”. “Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku”.
Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu.
Maka mayat itu menjawab: “Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku”.
Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya.
Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.
Baginda Rasullullah saw bersabda:
Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”
Sambung Rasullullah saw lagi:
“Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail as akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail as “Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail as akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah swt menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: “Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah swt ” Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah swt dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.
Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud:
“Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain.” Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.” Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki.
Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu.” Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir.”
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah.” Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah swt.
Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud:
“Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu. ” Sebaik saja mendapat perintah Allah swt maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah swt. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah swt maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.
Abu Bakar ra telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar ra:
“Roh itu menuju ketujuh tempat:-
1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.”
Telah bersabda Rasullullah saw: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-
1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.
Sekian untuk ingatan kita bersama. Wallahualam.

Subhanallah! Saintis Membuktikan Nabi Musa Membelah Laut

Saintis Membuktikan Nabi Musa Membelah Laut. Di antara peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel dari Firaun
Di antara peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel dari Firaun dan tenggelamnya Firaun dan bala tenteranya dalam Laut Merah.Ayat 50 surah al-Baqarah menceritakan hal ini dan hadis Nabi menerangkannya.
Saintis Barat mengemukakan teori angin bertiup yang membelah Laut Merah untuk Nabi Musa (lihat youtube). Mereka mengkaji tetapi mereka tidak beriman sepenuhnya dengan ajaran Musa itu sendiri. Di antara ajarannya ialah apabila tiba Nabi akhir zaman-Ahmad/Muhammad, maka berimanlah dengannya tetapi itu tidak berlaku. Saintis Barat hanya menjadi seperti Yahudi yang berpuasa pada 10 Muharram meraikan Nabi Musa tetapi menolak ajaran Taurat lain.
Apa beza dengan umat Islam yang berpuasa sunat pada hari Asyura atau membuat bubur asyura malah mempertandingkannya seperti di Kemaman tetapi menolak ajaran al-Quran selain puasa?
Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Nabi SAW tiba di Madinah. Baginda mendapati Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram). Baginda bertanya; ‘Hari apa yang kamu puasa ini?’
Jawab Yahudi: ‘Hari ini hari mulia. Allah menyelamatkan padanya Musa dan kaumnya, serta menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari Aasyura sebagai tanda syukur. Lalu kami berpuasa padanya.’ Sabda Nabi SAW : ‘Kami lebih berhak dan utama dengan Musa daripada kamu.’ Nabi berpuasa dan memerintahkan para Sahabat berpuasa juga. At-Tirmizi berkata:
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Baginda bersabda: ‘Puasalah hari ke 9 dan 10, serta jangan sama dengan Yahudi’. Hadis ini menjadi hujjah bagi Imam Shafie, Ahmad bin Hanbal dan Ishak. (Tafsir al-Munir j1 ms 163)
Hadis tentang Yahudi di atas ada perbahasannya seperti yang disebut oleh Imam Nawawi dalam syarah hadisnya. Yang penting ialah berpuasa sunat atau membuat bubur asyura dalam keadaan sedar dengan apa yang dibuat dan menghayati Islam secara syumul, bukan hanya buburnya. Demikian juga mukjizat Nabi Musa as yang mendahului bukti saintifik. Kita membenarkan mukjizatnya walaupun tiada bukti saintifik.
Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar.
Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.
Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.
Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.
Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.
Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.
Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.
Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.
Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. – Agensi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BORANG MAKLUMAT PELANGGAN

Name

Email *

Message *